Tuesday, July 18, 2017

Data dalam ekonomi

Dalam pengamatan dunia ekonomi, kita perlu berpandukan data dan maklumat yang kita dapati daripada sebarang pemerhatian. Walaupun secara umumnya, ekonomi boleh jadi suatu pendapat berdasarkan analisa dan kajian terhadap sesuatu fenomena dan aktiviti harian individu mahupun masyarakat, kita ingin memastikan pemerhatian yang kita buat (sebolehnya) berasaskan maklumat yang terperinci dan menyeluruh.

Data statistik seperti harga minyak petrol dan jumlah belian barangan keperluan rumah adalah antara data yang boleh digunapakai bagi menjelaskan sesuatu tindakan yang dibuat oleh pengguna. Data ini perlu difahami sebaiknya cara pengumpulan dan kategori maklumat yang diperolehi. Contohnya, sekiranya harga minyak di satu buah stesen di negeri Selangor tidak boleh dijadikan harga bagi semua stesen minyak di negeri tersebut. Namun, sebagai sebuah negara, disebabkan harga minyak yang dikawal dan diseragamkan, maka kita boleh rumuskan harga tersebut adalah sama bagi semua stesen dalam negara. Begitulah juga bila kita sebut tentang isu inflasi, perlu difahami ia merupakan petunjuk kenaikan harga keseluruhan, dan jika diamati kebiasaannya harga bagi barang makanan mempunyai kadar kenaikan yang lebih tinggi. Inflasi keseluruhan tidak menafikan fakta ini, cuma laporan yang dibuat tidak memberikan gambaran dan penekanan yang cukup bahawa fakta kenaikan harga makanan yang tinggi telah diambilkira.

Adalah penting untuk kita jelaskan perlunya kefahaman yang betul berkenaan data sebelum membuat sebarang analisa dan rumusan. Kegagalan memahami data dengan baik bakal mengundang keputusan yang kurang bijak dan membinasakan. Para pengumpul dan pengeluar data juga perlu berusaha sebaik mungkin bagi menghasilkan data yang berkualiti dan berintegriti. Ini bagi memastikan sebarang analisa dan komen diberikan berdasarkan pemerhatian yang wajar dan berhati-hati. Bukan mengundang tekaan rambang dan biadab walhal asas memahami data tidak dihormati dan dipegang.

-------------
Perlunya kita membuat analisa yang jujur berdasarkan data yang berkualiti supaya kita tidak salah tembak atas kelemahan penilaian kita sendiri. Bertanggungjawab juga adalah dengan mengaku salah sekiranya kita tersilap langkah, bukan berdegil untuk menegakkan pendapat yang tidak berasas (walaupun tanpa kita sedar). Hati-hatilah dalam memerhati.