Sunday, January 10, 2016

Suatu permulaan

Penulisan ini dimulakan berasaskan cadangan seorang penganalisa yang saya hormati dan segani. Beliau berpendapat dunia kajian dan penyelidikan khususnya bagi sains sosial tidak sepatutnya terikat hanya di pejabat dan di hadapan komputer. Oleh sebab itu, saya menyahut cabaran beliau untuk memulakan misi perkongsian maya ini sebagai langkah pertama membiasakan saya berkarya dan berkongsi pendapat.

Terdapat 2 perkara dan isu yang saya minat:

Pertama, analisa berkenaan ekonomi dunia. Ini berdasarkan pengalaman saya selaku bekas penganalisa ekonomi-ekonomi utama dunia (khususnya Amerika Syarikat, Jepun dan negara-negara di Asia Timur yakni termasuk juga Asia Tenggara). Pekerjaan saya kini hanya berkisar dalam pemerhatian ekonomi di Malaysia, namun masih tidak banyak berbeza kerana masih terdapat juga persoalan berkenaan isu-isu di luar negara yang akan menjadi persoalan, contohnya: pasaran kewangan global, kadar tukaran wang ringgit, perdagangan antarabangsa dan sebagainya.

Kedua, isu-isu melibatkan ekonomi secara umum turut menjadi perhatian saya. Selain memberi pencerahan berkenaan konsep asas dalam ekonomi, saya sentiasa cuba untuk mengingatkan pada diri saya bahawa bidang kajian ekonomi ini mengajar kita untuk membuat penilaian analitikal yang melihat kepada pelbagai sudut (termasuklah baik/buruk atau positif/negatif). Isu-isu ekonomi walaupun dilihat mudah, dan mungkin ramai beranggapan mereka boleh komen dengan mudah mengikut sesuka hati dan emosi, namun ada kesan yang biasanya luar jangkaan apabila isu susunan sesuatu peristiwa itu tidak difahami dengan baik. Ini melibatkan kefahaman berkenaan keterkaitan sesuatu isu itu dengan isu-isu yang lain. Dalam kata lain, inilah yang dikatakan sebagai kajian sains sosial yang mana sebagai penganalisa, kita perlu sedar tidak semua peristiwa dan penilaian itu boleh disamakan menggunapakai hanya satu perspektif dan model pemikiran. Perbezaan budaya, contohnya, menjelaskan kenapa sesetengah kejayaan di luar negara tidak berjaya untuk diadaptasikan untuk kehidupan di negara kita sendiri. Selain budaya, perbezaan dari segi cara hidup, bahasa, keadaan cuaca, kedudukan geografi, taraf hidup dan pendapatan, bangsa dan kaum, tahap pendidikan dan kelayakan, sistem perundangan, tahap kemajuan pasaran kewangan, kemampuan perindustrian dan banyak lagi aspek-aspek lain perlu diambil kira dalam memberi penjelasan dalam analisa ekonomi. Kemampuan memahami keterkaitan (yakni hubungkait) dalam sesuatu analisa menjadi kayuukur betapa dinamiknya seorang penganalisa itu. Apa yang lebih penting, ahli analisa itu perlu mampu untuk memberikan penjelasan yang berjaya membawa orang ramai untuk berfikir dan mampu membuat pertimbangan yang baik dalam membuat sebarang keputusan.

Sebelum saya mengundur diri, saya berharap penulisan ini juga mampu membentuk saya sebagai penulis yang baik di samping menyumbang kepada artikel-artikel dalam Bahasa Melayu khususnya berkaitan ekonomi dan kewangan. Kita cukup maklum bahawa sistem ekonomi dan kewangan negara rata-rata menekan urusan berasaskan Bahasa Inggeris, yang merupakan bahasa kedua negara. Oleh sebab itu, menjadi keinginan saya untuk turut sama membantu memperbanyakkan lagi bahan-bahan rujukan dalam Bahasa Melayu agar mereka yang kurang cekap berbahasa Inggeris turut serta mampu memahami perbincangan ekonomi, sama ada di Malaysia mahupun di luar negara.

Moga perjalanan ini mendapat berkat dan hidayah daripada Ilahi. In sha Allah.

___________________
#Nota 1: Nota pemula untuk diri penulis

No comments:

Post a Comment